Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam
al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil
yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa,
Isa putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di
atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat
berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia
memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat
daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh
oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan
tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula
dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat
menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam
menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu
bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang
daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang
suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu
telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh
Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil
berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira
dengan satu Kata daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam,
terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan."
(3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada
seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?"
(19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah
berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi
manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah
ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum
Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda)
bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam,
walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada
ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan mereka adalah manusia
biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan
beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang
Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia
memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci.
Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas
sebahagian yang lain. Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan
sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam
bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)."
(2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan
antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang
diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan
Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak, dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan
apa yang diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak
membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'"
(2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari
ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak
Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum
agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil,
yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain
menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan
kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di
sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera
Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil,
di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara
kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai
kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan Taman atau Syurga
bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga didapati di dalam Taurat
dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama.
Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan.
Firman Allah:
"dia (Isa) berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan
kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang
dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu takutilah Allah, dan taatlah
kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas
baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada
kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan
seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya ahmad (dipuji).”
(61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai
pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka
adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia,
'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan
saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan
baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan
menjadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu
akan kemusliman kami.'" (3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk
Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan
menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu
penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada
pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku
bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami akan menjadi
penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia
memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka
menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit.
Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa
putera Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja
hidangan dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang
mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan
hati kami menjadi tenteram, supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar
kepada kami, dan supaya kami adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya Allah, Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah
meja hidangan dari langit, yang akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang
pertama dan yang akhir bagi kami, dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan
berilah rezeki untuk kami; Engkau yang terbaik daripada pemberi-pemberi
rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun
menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah
di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi
Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat berikut
menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah
akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu
dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam
buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat,
dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya,
lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang
buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan
orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak
percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang
nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah
daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad.
Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul
dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak
wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah
wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa
penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di dalam
al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari tempat baginda
dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada
ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan
kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada
orang-orang yang tidak percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang saksi ke atas mereka selama aku di
kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri
adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan
bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula.
Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera
Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga
menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka.
Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya;
mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka
tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan
Allah di dalam al-Qur'an, iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali
kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan
Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama,
orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau
berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh
Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami
tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa
sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam
kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang
berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17),
dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.'
Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak
percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka
dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan
kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul
sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua
makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada
mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau
Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan
makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang
terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang
mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga
dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan
agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi
Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya
sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah
tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada
manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai tuhan-tuhan selain daripada
Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan
apa yang aku tiada hak dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya,
dengan mengetahui apa yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang
di dalam jiwa Engkau; sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib."
(5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara
kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka;
tetapi setelah Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas
mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat
berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an.
Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an
ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak
dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Bila berkomentar harap sopan